01 December, 2008

Kematian itu pasti

Malam ahad yang baru berlalu, saya , anak yang kedua dan si bungsu tidur di rumah ibu memandangkan suami sibuk dengan tugas yang memaksakan dia bermalam selama 2 malam,

Pagi ahad saya bergegas pulang semulake Parit buntar kerana anak yang di Kuala Lumpur akan pulang membawa kawan seramai 2 orang , orang K.L.



Dalam kesebokan berkemas tiba-tiba dapat panggilan talipon daripada kakak yang menyatakan sepupu yang berada di Parit Haji Awi telah meninggal dunia dan telah selamat dikebumikan. Saya amat terkejut kerana hari itu , semasa pergi khenduri berjumpa dengan dia sehat walafiat, kami pun tidak diberi khabar yang dia sakit tapi sakit yang mendadak, hanya dalam masa seminggu dia pergi menemui Ilahi meninggalkan suami dan 8 orang anak.



Malam tadi suami pulang dari Shah Alam dan pagi-pagi tadi saya dengan suami meluangkan masa menjeguk anak-anaknya. Sesungguhnya ajal tidak mengenal usia, hanya bekalan saja yang kita sering lupa untuk menyediakannya.


Baca Seterusnya...

12 November, 2008

Sambungan Kenangan di China.

Sambungan cerita...di China.

Sesuatu yang menjadi kemestian saya pada waktu pagi , sesudah solat subuh berjemaah saya akan memasak untuk anak-anak, waktu saya memasak 'Aye' (mak cik) akan datang kerumah kami untuk mengemas rumah, aye cukup cekap bekerja, sambil bekerja saya ambil kesempatan belajar bahasa mandarin dengan aye dan aye akan belajar bahasa melayu dengan saya,kami akan ulang setiap hari dan tambah perkataan baru.

Sekiranya waktu itu saya masak nasi goreng atau cucur kodok , saya akan mempelawa aye merasa makanan Malaysia. Di Guangzhou makanan direstoren memanglah mahal, sebab tu saya lebih suka masak dan anak-anak berselera makan kerana musim sejuk yang menyebabkan perut sentiasa lapar.

Sekiranya suami berkesempatan , dia akan membawa kami berjalan-jalan, pernah kami yang perjalanan dengan bas mengambil masa 7 jam, disepanjang perjalanan kiri dan kanan ditanam dengan sayuran yang menghijau, begitu berbeza dengan kita di Malaysia, sedap mata memandang.

Biasanya kalau nak pulang ke Malaysia, saya akan membeli sedikit barang-barang untuk dijual kepada kawan-kawan seperti baju sutera , brooch beraneka jenis, cadar sulam dan lain-lain yang boleh mendatangkan sedikit keuntungan.


Baca Seterusnya...

Pelancaran Album Nasyid Naqia

Sudah hampir tiga minggu saya tidak menulis kegiatan harian saya di blog ini,kekangan masa yang menyebabkan saya sentiasa menunda untuk mengadap komputer setiap hari, malam ini saya meluangkan masa untuk menulis.



Tan Seri Abu Hasan Omar menandatangani plat pelancaran Album nasyid Naqia.


Hari jumaat lepas saya bersama suami meluangkan masa (pada sebelah malamnya) untuk menghadiri majlis pelancaran Album Kumpulan Nasyid anak sulung kami di Hotel Seri Cempaka KualaLumpur yang telah dirasmikan oleh Tan Sri Abu Hassan Omar (Bekas menteri Besar Selangor) Kumpulan Nasyid yg bernama Naqia dengan judul Album 'Indahnya Al-Quran'.

Anak Sulung menjadi salah seorang anggota kumpulan Naqia(sedang bernasyid)



Semasa acara makan kumpulan nasyid mendendangkan beberapa lagu daripada Album mereka, begitu bergaya anak-anak muda yg berumur 16 - 19 tahun ini, disamping itu diperdengarkan juga bacaan ayat-ayat Al-Quran oleh adik yang melaungkan azan diTV 9 , adik ini baru berusia 13 tahun, begitu merdu suaranya, sejuk ibu yg mengandongkannya.

Dimeja pendaftaran bersama suami.


Diadakan juga cabutan bertuah, tapi kami malam tu tak bertuah nampaknya, hampir jam 11.30 malam barulah kami berangkat pulang dan bercadang akan bermalam di Ipoh kerana esok (hari sabtu ) ada program lagi yang akan diikuti.


Bergambar bersama anak kesayangan.


Baca Seterusnya...

25 October, 2008

Kopi buat payu dara kecut

Pengambilan terlalu banyak kafein jejas hormon dalam badan wanita

LONDON: Pengambilan hanya tiga cawan kopi sehari dikatakan mampu mengecutkan buah dada wanita kerana kafein yang terlalu banyak boleh menjejaskan hormon dalam badan dan menggugat saiznya.

Kajian terbaru yang dijalankan sekumpulan penyelidik menunjukkan lebih banyak kopi yang diminum, lebih kecil saiz buah dada mereka.

Hampir 300 wanita yang mengambil bahagian dalam kajian itu dan mereka ditanya purata jumlah pengambilan kopi sehari dan saiz payu dara mereka diukur.

Keputusan kajian itu yang disiarkan Jurnal Kanser Britain mendapati bahawa dengan hanya meminum sekurang-kurangnya tiga cawan kopi atau lebih sehari sudah cukup untuk mengecilkan saiz buah dada mereka.

Kesannya meningkat bagi setiap cawan kopi yang diminum.

Hampir separuh daripada wanita dalam kajian itu menunjukkan perubahan gen yang dikaitkan dengan pengambilan kopi dan saiz payu dara mereka.

"Meminum kopi boleh memberi kesan besar terhadap saiz buah dada," kata Helena Jernstrom dari Universiti Lund, Sweden, yang mengetuai kajian berkenaan.

"Wanita yang minum kopi tidak perlu bimbang buah dada mereka akan mengecut dengan cepat dalam masa semalaman. Ia akan menjadi lebih kecil tetapi tidak terus menghilang," katanya.

"Bagaimanapun, mereka yang berpendapat boleh meneka wanita mana peminum kopi hanya melalui ukuran baju dalam mereka akan silap.

"Masalahnya, ada dua ukuran bagi sehelai baju dalam iaitu saiz mangkuk dan ukur lilit jadi tidak mudah untuk anda meneka."

Wanita yang minum lebih tiga cawan kopi sehari mempunyai purata 17 peratus saiz buah dada lebih kecil berbanding mereka yang minum kurang tiga cawan sehari.

Wanita yang mempunyai saiz buah dada lebih besar paling berisiko tinggi, kata saintis berkenaan.

Bagaimanapun, kajian itu tidak dapat merumuskan sama ada meminum jumlah kafein yang banyak setiap hari juga boleh menjejaskan kepadatan buah dada



Baca Seterusnya...

24 October, 2008

Kenangan di China.

Petang ini saya berusaha untuk menulis sedikit, minggu ini rasanya biasa saja walaupun suami punya urusan diluar negara, saya yang biasa ditinggalkan bersama anak-anak tidak terasa sangat akan ketiadaannya, namun nostalgia ketika berada di negara China kadang-kadang mengamit untuk pergi bercuti kesana.

Sebelum suami menang dalam pilihan raya ke 12 bulan mac lepas, suami berulang alik ke negara cina sebulan sekali , 2 minggu di malaysia 2 minggu di negara china, semuanya atas mencari rezeki yang halal, saya sudah lali dengan keadaan ini, bak kata pepatah " alah bisa tegal biasa"

Saya anak-beranak amat kagum dengan kemajuan negara China, malah bila tinggal disana ketika cuti hujung tahun dalam masa yang lama dapatlah merasai selok belok kehidupan rakyat China.

Kami menyewa ditingkat 30 di apartmen yang boleh dikatakan elit juga, saya suka dengan sistem keselamatan apartmen tersebut malah kebersihan nya juga dijaga dengan begitu teliti sekali. Setiap 2 hari sekali saya akan kepasar bersama suami dengan membawa troli untuk muatan bahan makanan nanti.

Pertama sekali pasti saya akan ketempat ikan , ikan di market ini amat segar sekali, siap siang lagi, begitu juga kalau membeli sotong, siap dia buangkan yang hitam dan di toreh-toreh , balik cuma kita basuh saja lagi ,sesudah itu ketempat sayur pula, macam-macam jenis sayur yang ada, ada yang tidak ada di Malaysia, saya akan beli untuk merasainya dan yang paling saya suka ketempat buah-buahan segar yang baru datang dari ladang.

Demikian sedikit nostalgia semasa di China suatu masa dulu. Semuga saya dapat menyambungnya jika ada kelapangan.


Baca Seterusnya...

17 October, 2008

Tudung Fareeda anggun digayakan.

Wanita bertudung masih boleh kelihatan anggun jika pandai memilih tudung, gaya dan aksesori.

Bahkan, corak dan gaya tudung sememangnya menampilkan perubahan yang begitu ketara bagi mengetengahkan lagi sifat kewanitaan pada si pemakai.

Bagi kebanyakan wanita, tudung bukan sekadar memakainya dan mengayakan kerongsang di atas bahu atau di bawah dagu. Ia memerlukan teknik supaya nampak bergaya.

Justeru itu, untuk tampil berbeza, tudung jenama Fareeda bakal memberi ‘wajah baru’ kepada wanita kerana ia sesuai dan mudah digayakan sama ada untuk aktiviti kasual atau majlis rasmi.

Hasil kreativiti pemilik Fareeda House of Scarf, Faridah Zakaria, setiap tudung ciptaannya bukan sahaja sebagai penutup aurat wanita tetapi turut menjadi penyeri kepada penampilan mereka.

‘‘Wanita perlu nampak berseri dan anggun walaupun bertudung. Justeru itu, saya turut menghiaskan tudung Fareeda dengan hiasan seperti manik dan jahitan sulam yang pasti membuatkan tudung itu lebih elegan dan kontemporari bila dipakai.

‘‘Teknik pemakaiannya juga sungguh mudah. Pertama, pinkan tudung di bawah dagu, lilitkan bahagian kiri ke belakang, pinkan tudung di atas kepala, ambil turun tudung ke bahu kanan, selitkan bahagian itu, sebelah kanan letakkan di atas bahu kiri dan kemaskan tudung, siap untuk digayakan,’’ kata Faridah.

Terdapat lima jenis tudung Fareeda iaitu sama ada kain kosong, kain bercorak, bermanik, bersulam dan berlapis dua yang diperbuat daripada kain import dari Itali, Korea, Thailand dan Perancis. Jenis kain yang digunakan ialah seperti yokyo sifon, dope, dyed, opal dan organza.

Dari segi warna, hampir 32 warna yang boleh dipilih sama ada dari saiz S hinggalah ke XL.

Cara cuciannya cukup mudah, hanya rendam sekejap di dalam air, sudah boleh terus dijemur dan jangan sesekali memasukkan ke dalam mesin basuh kerana akan merosakkan kepala tudung.


Baca Seterusnya...

15 October, 2008

Sabtu 11 Oktober, sehari bersama suami mewakili MB Perak.

Setelah berapa lama tidak menulis, hari ini saya mengambil kesempatan duduk di hadapan komputer , ini di sebabkan kekangan masa, minggu lepas hari sabtu merupakan hari yang penuh dengan program.

Saya menemani suami ke majlis rasmi yang di jemput oleh pelbagai pihak , terfikir oleh saya kalau hari-hari macam ni,boleh pengsan dibuatnya tapi jika di lakukan kerana Allah terasa akan kemanisannya.

Jam 7.00 pagi saya dan suami sudah berangkat ke Tanjung Rambutan kerana suami akan merasmikan Mesyuarat Agung SRATI jam 9.00 pagi mewakili YAB Menteri Besar Perak. Selepas itu bergegas ke Mesjid Muhibbudin berdekatan Hospital Ipoh , juga mewakili MB untuk menghadiri Majlis Jamuan Hari Raya bersama dengan 30 imam muda dari Negara China, di masjid inilah 2 orang berbangsa Tionghua mengucap dua kalimah syahadah memeluk agama Islam, terharu saya melihatnya, seorang lelaki dan seorang perempuan.

Selepas itu kami meminta diri untuk ke Teluk Intan menghadiri rumah terbuka ADUN Changkat Jong .
Pada sebelah malam , jam 8.00 suami untuk kali ketiga pada hari yang sama mewakili MB menghadiri majlis dailog imam-imam dari Negara China dengan Pesatuan Kwantung Perak di bangunannya di Jalan Sultan Idris Ipoh.

Kalau program bersama masyarakat Cina, suami akan banyak menggunakan bahasa manderin dalam ucapannya.

Saya sampai di rumah jam 10.00 malam, setelah menghantar saya balik ke rumah , suami terus bergegas kemajlis ceramah yang diadakan di Tanjung Piandang, sayang sekali saya tidak dapat ikut serta kerana perlu berkemas untuk anak sulung yang akan pulang ke Kuala Lumpur meneruskan pengajian pada besok pagi.

Hari Ahad saya tidak ke mana-mana kerana perlu mengemas kain baju anak-anak yang akan ke sekolah esok hari memandangkan saya tidak mempunyai pembantu. kalau tidak saya akan bersama dengan suami pada tersebut yang keluar sejak jam 7.oo pagi dan balik waktu malamnya.
Jadual hari Ahad termasuklah Hari Terbuka PAS Pusat di Stadium Melawati, terasa rugi tidak hadir sama dengan suami. IsyaAllah saya merancang untuk hadir sama pada masa akan datang.

Pada kesempatan ini sebagai seorang pendidik saya ucapkan :

"SELAMAT MENDUDUKI PMR BUAT PELAJAR TINGKATAN 3 SMKPBG dan PELAJAR TINGKATAN 3 SELURUH NEGARA"

Sepanjang minggu ini dari 13 -17 Oktober semua pelajar tingkatan 3 seluruh Malaysia menduduki PMR bagi tahun 2008, ini sangat bermakna bagi kami guru-guru tingkatan 3 DAN berasa 'relax' sikit kerana tidak ada jadual mengajar.


Baca Seterusnya...

06 October, 2008

Nenek tua umur 100 tahun lebih.

Jumaat dan sabtu kami balik beraya di Kelantan negeri kelahiran suami tercinta. Sempatlah menziarahi Kakak Ipar yang duduk di Bachok dan keluarga angkat suami yang lain.


Kami bermalam di rumah ayah angkat di Machang pada malam sabtu, kebetulan ayah nak kenduri kesyukuran sambut menantu anak lelaki sulong yang kawin.




Penghujung usia yang masih ada makna.



Yang menarik dalam kunjungan ke rumah kawan sekelas suami bernama Mastura, kami sangat tertarik dengan neneknya yang telah berumur 100 tahun lebih, namun matanya masih terang cuma telinga sudak Allah tarik sedikit pendengarannya.

Kata Mastura, neneknya adalah seorang bidan yang terkenal disitu sehingga digelar oleh orang ramai sebagai doktor kampung. Baca Al Quran tak payah pakai cermin mata




Anak kesayangan juga bergambar sama.


Walaupun sudah tidak secergas mana, sampai sekarang neneknya masih diminta memberi rawatan kebidanan seperti peranak songsang dan sebagainya.

Demikianlah seorang yang memilki pekerjaan yang tidak pencen sampai penghujung usia sebegitu.


Baca Seterusnya...

02 October, 2008

Indahnya Hari Raya

Kelmarin adalah merupakan hari kemenangan bagi umat Islam yang berjaya dalam melaksanakan puasanya, dengan itu saya mengambil kesempatan ini mengucapkan "selamat Hari Raya Aidil Fitri maaf zahir dan bathin" kepada semua yang beragama Islam .

Tahun ini merupakan tahun yang berbeza sedikit dengan tahun-tahun yg sebelumnya, sejak menjawat jawatan ADUN suami begitu padat jadualnya setiap hari, namun kami sekeluarga tetap akan pulang kekampung ibu di PTN untuk menyambut lebaran bersamanya,hanya itu yang dapat saya hadiahkan kepadanya untuk mengembirakan hatinya dipagi hariraya.
Kami tidur di malam raya di rumah ibu yang banyak memberi jasa yang tidak mampu dibalas.

Gambar kami sekeluarga di pagi raya.


Saya sekeluarga bersembahyang raya di Pusat Tarbiyah Titi Serong, selesai solat Aidilfitri, kami berkunjung kerumah teman suami, sesudah itu terus pulang ke rumah ibu kerana ada kawan suami yang ikut sekali.

Bergambar dengan anak YAB Menteri Besar.


Sebelah petangnya pula, kami berangkat ke Ipoh kerumah MB kerana menghadiri jamuan Rumah terbuka. Walaupun sampai agak terlambat namun orang masih lagi ramai. Kenderaan melimpah keluar. Kelihatan pengunjung pelbagai bangsa yang hadir.

Selesai sembahyang asar di kediaman MB kami kena tunggu sebentar kerana suami ada perbincangan dengan MB.

Sampai di rumah sudah jam 8.00 malam. Bergegas ke dapur untuk siapkan sedikit makanan kerana kata suami ada yang talipon akan datang kerumah. Tamu yang hadir sekitar 2o orang semuanya balik sekitar jam 11 lebih.


Baca Seterusnya...

01 October, 2008

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
DARI:
KELUARGA UMUAIMAN
SEMUGA RAMADHAN TELAH MENDIDIK
KITA SEMUA MENJADI INSAN BERTAQWA
TERIMA KASIH DENGAN KUNJUNGAN ANDA.


Baca Seterusnya...

28 September, 2008

Melawat Hospital Parit Buntar.

Minggu lepas saya bersama suami dan rombongan untuk melawat Hospital Parit Buntar. Tujuan lawatan ialah untuk memberi sedikit sumbangan hamper kepada semua pesakit dan juga kepada semua kakitangan Hospital.

Turut serta bersama rombongan ialah Ahli Parlimen Parit Buntar dan ADUN Kuala Kurau bersama isteri masing-masing. Selain itu ikut sama rombongan dari PAS Kawasan, Dewan Pemuda PAS Kawasan dan Muslimat PAS Kawasan Parit Buntar.

Saya mengucapkan terima kasih dengan layanan yang baik yang diberikan oleh pihak pengurusan Hospital Parit Buntar bagi menjayakan program tersebut.


Baca Seterusnya...

17 September, 2008

Kerusi Madura tempat tidur kegemaran suami

Sebelum ini suami adalah pengusaha kedai jual perabut kayu jati diParit Buntar, beliau menjual perniagaanya yang di Parit Buntar kepada kenalannya dan cawangan di Machang Kelantan diambil alih oleh ayah angkat.
Sesudah itu dia merantau mencari rezeki setelah tidak menang dalam PR ke 11 menjadi calon PAS untuk DUN Kuala Kurau. Sudah berhenti menjadi guru dia menumpukan sepenuh masa sebagai seorang ahli perniagaan.


Kerusi Madura tempat tidur suami

Jadi dalam rumah memang hampir semua adalah perabut jati. Salah satunya kerusi madura seperti dalam gambar dan satu lagi kerusi antik juga dari kayu jati warna hitam.

Kerus Antik juga tempat tidurnya.


Sejak suami mula balik ke Malaysia setelah 2 tahun mengusahakan perniagaan di China,jemputan dari luar dan jadual untuk bergerak dalam kawasan DUN yang akan ditandinginya semakin padat.

Sejak itu dia sering balik lewat malam dan terus tidur di kerusi kesayanganya itu. Katanya kalau naik ke atas tidur dalam aircon payah nak bangun besuk harinya untuk pergi berjemaah dengan rakyat.

Keadaan ini berterusan apa lagi masa kempen pilihanraya. Dia pasti tidur dikerusi itu.Tambahan pula balik kempen denganya sekitar jam 3 malam lebih setiap malam.

Yang kejutkannya pembantu peribadinya sejak lebih 5 tahun sudah bernama Pak Din. Pak Din datang untuk picitkan loceng dan buat panggilan talipon.

Sekarang sudah sekitar 6 bulan Pakatan Rakyat memerintah Perak begitulah tempat tidur suami.Jadualnya semakin ketat. Kadang-kadang keluar pagi balik malam.Dia jarang untuk tidur di atas sebab jadualnya sama sahaja sebelum menang dengan sesudah menang.Kadangkala tidak sedar pun dia balik jam berapa.

Semuga Allah merahmati keluarga dan suami kesayangan, dia sudah jadi milik masyarakat biarlah dia sering tidur di kerusi kesayanganya supaya dia mudah bangun untuk ke mesjid dan surau bertemu rakyatnya.


Baca Seterusnya...

15 September, 2008

Bersama suami melawat Pekan Ahad.

Sudah lama tidak berkunjung ke Pekan Ahad Titi Serong. Pagi ini balik dari kegiatan Subuhnya, suami mengajak saya melawat ke sana.
Ikut suami dalam lawatan sebegini kena sabar banyak kerana dia akan mengambil masa yang panjang untuk bermesra dengan rakyatnya. Lawatan yang sepatutnya bermula jam 7.30 pagi tertangguh kerana kami pergi melawat satu kemalangan yang berlaku di Simpang 5 yang terletak tidak berapa jauh dari rumah kami.
Kemalanganya ngeri dan menakutkan, sebuah lori membawa simen terbabsa masuk ke Balai Polis berdekatan dan sempat merempuh sebuah Van yang menunggu lampu isyarat.
Alhamdulillah tidak ada yang kehilangan nyawa. Penumpang van berjumlah 7 orang cuma seorang yang cedera ringan. Begitu juga pemandu Van dan lori semuanya selamat. Cuma yang rosak teruk ialah kenderaan dan Bali Polis Simpang Lima.


Baca Seterusnya...

13 September, 2008

Majlis berbuka pakatan Rakyat

Malam tadi saya bersama suami menghadiri Majlis Berbuka Pakatan Rakyat di Kdiaman Resmi Menteri Besar Perak. Kami berdua sampai agak lewat sekitar jam 7.05. Nampaknya tidak ada tahlil seperti kita ramai-ramai sesama Islam berbuka.

Duduk semeja dengan isteri MP Bagan Serai ,ADUN cangkat Jong dan SU Muslimat Negeri.
Majlisnya ringkas sahaja,setelah yang beragama Islam berbuka dengan sedkit makanan dan kuih muih semuanya masuk ke dewan solat untuk mengerjakan sembahyang Maghrib berjemaah. MB yang menjadi Imam.

Saya duduk semeja dengan Isteri ADUN lain dan AJK Muslimat Negeri.

Rasa ada kelainan yang tidak mungkin berlaku kalau kerajaan dulu memerintah, setkat ini saya dengan suami telah hadir dalam banyak program bersama ADUN pakatan Rakyat yang lain. Kami bergaul dengan akrab dan saling memahami antara satu sama lain.

Tambahan pula suami yang berbangsa Cina tahulah dia menjaga hati bangsanya sendiri.


Baca Seterusnya...

Berjimat masa berbelanja.

Hari ini seakan terasa bahang hari raya semakin dekat, mana tidaknya kelmarin disekolah, ada yang bawa kain baju ,ada yang membawa kuih untuk di jual, masa berlalu begitu cepat sekali, sudah 13 hari kita berpuasa, harapan kita semoga ibadah kita tahun ini lebih baik daripada tahun lepas.

Namun apapun yang kita lakukan hendaklah iklas semata-mata kerana Allah, kerana hanya dengan keihklasan sahaja yg akan dipandang Allah SWT. Sebagaimana dalam satu hadits Qudsi kata Allah " puasa adalah untuk Ku dan Akulah yang akan menilainya"

Pusat bandar Parit Buntar juga sebok dengan orang yang membeli belah sejak awal puasa lagi. Tapi bagi saya persiapan awal adalah amat penting, kerana tidak mahu berasak-asak di tempat membeli belah. Persiapan juga sekadar yang perlu sahaja,memandangkan sekarang nilai wang terasa kecil.

Bagi yang berpendapatan rendah lebih terasa lagi apatah lagi jika memiliki anak yang ramai. Anak-anak zaman sekarang mahunya ada semua tanpa mahu bersusah payah. Saya sering menceritakan bagaimana kehidupan susah saya zaman dahulu kepada anak-anak, tapi mereka seolah tidak mengerti kerana lahir saja sudah hidup dalam keadaan senang.


Baca Seterusnya...

10 September, 2008

Ramadan AlMubarak

Setiap petang para ibu pastinya sebok menyiapkan juadah untuk berbuka puasa, tidak terkecuali saya juga pastinya akan kepasar ramadan yang kebetulan berdekatan dengan rumah.

Setiap harilah saya akan bertanya apa yg nak dimakan oleh anak kecil yang bersekolah dalam darjah dua, Saya bukan tidak berupaya nak memasak, memandangkan setiap petang saya hanya berbuka dengan anak yg kedua dan ketiga sahaja kerana suami dan anak yang sulung akan berbuka di masjid atau surau mengikut jadual yang telah pun disediakan jadi untuk itu saya merasakan lebih baik membeli 2/3 ketul kuih dan semacam dua laukpauk sudah memadai, masa dan tenaga juga tidak terbuang yg boleh digunakan untuk perkara lain.

Setiap petang begitu ramai orang berkunjung kepasar ramadan ini, kadang-kadang sukarnya untuk berjalan cepat , ada juga dari kaum india dan cina yang datang membeli makanan di pasar ramadan yang menjual pelbagai makanan dan jenis air minuman, kelihatan ada yang ramai berkerumun digerai jualan tertentu tidak terkecuali juga yang tiada pengunjung, kasihan saya melihatnya.


Baca Seterusnya...

Ibuku musibah kecil.

Maafkan saya, kelmarin tak sempat untuk menulis dalam blog ini, disebabkan oleh kesebokan yang melanda, menguruskan ibu yang jatuh dalamparitdalam perjalanan ketika ingin mengerjakan solat terawih dimasjid berdekatan, sesungguhnya Allah itu ingin menguji kekuatan hambaNya. malang tidak berbau kata perpatah Melayu

Ibu jatuh ke dalam parit bersama basikalnya dan mengalami sakit dada dan luka-lua kecil, saya kebetulan itu keluar photostat ketika itu dalam perjalanan balik ke rumah,suami pula berada di K.Lumpur yang menerima panggilan dari orang kampung memaklumkan kejadian itu, bergegas ketempat kejadian yg jauhnya kira-kira 8 km dari rumah kami.

Sampainya saya ibu dalam keadaan basah dan saya terus bawa pulang ke rumah saya kerana kunci rumah ibu hilang dalam parit ketika jatuh. Saya bawa ibu ke klinik dan doktor mengatakan tiada apa yg teruk, lega di dalam hati, selesai makan ubat, ibu saya suruh tidur tapi dia mengerang kesakitan di bahagian dada dan belakang, saya terus memikirkan esok apa yg harus saya lakukan.


Saya tidak ke sekolah dan mengambil cuti rehat untuk menguruskan ibu, ada seorang rakan yg mengesorkan agar pergi ke pusat akupunkcure yang terdapat di Parit Buntar.

Alhamdulillah, berkat doa dan ikhtiar kesihatan ibu beransur pulih. Petang itu ibu sudah boleh buat kuih untuk kami berbuka kerana kakak dari Taiping juga balik untuk melihat ibu. Itulah kegemarannya yang saya tidak dapat halang. kalau boleh saya sudah nasihati beliau supaya berehat saja, banyak kuih yang kami beli tetapi siapa boleh halang hobinya, satu kampung tahu dia jaguh buat kuih.

Itulah Ibu kesayangan yang masih sihat untuk meneruskan sisa-sisa kehidupan yang diizinkan oleh Allah SWT bersama anak-anak kesayangan seramai 3 orang termasuk saya.


Baca Seterusnya...

09 September, 2008

Ikut suami melawat orang Cina Mati.

Entah untuk keberapa kali saya telah diajak suami untuk menziarahi jenazah orang cina mati. Orang India pun sering juga. Seja jadi ADUn suami saya mesti dihubungi kalau ada kematian tidak kira Melayu, Cina atau India.

Sekali ini seorang tokoh perniagaan Cina meninggal dunia. Kami sampai ditempat kematian pada jam 10 pagi dan disambut oleh anak-anak simati.

Layanan mereka baik sekali dan kami bertanya khabar berkaitan dengan pengurusan mayat. Katanya pagi isnin dah nak hantar ke perkuburan di Bukit Mertajam.

Isteri mendiang juga datang bersalam dengan kami dan mengucapkan terima kasih dengan kunjungan sambil menangis

Suami meminta izin dari anak mendiang untuk melihat mayat dan saya ikut sama bersama rombongan.
Sempat juga petugas menghidangkan air mineral kerana mereka lupa kami berpuasa.


Baca Seterusnya...

08 September, 2008

Salam perkenalan...

Alhamdulillah blog ini dapat menemui rakan-rakan pembaca semuga penamplannya dapat memaparkan kegiatan saya sebagai seorang isteri ADUN pakatan Rakyat di Perak.


Baca Seterusnya...