03 June, 2009

Sentiasalah menginsafi diri

Salam,

Saat menghadapi sakaratul maut adalah detik kritikal kepada orang yang akan dicabut nyawanya. Hayat penghabisan itu bakal menentukan sama ada seseorang itu mati dalam iman atau mati sebagai seorang yang kufur.

Sehubungan itu, panduan ajaran Islam ada menerangkan kepentingan talkin syahadah iaitu mengajarkan kalimah tauhid kepada orang yang berada dalam keadaan sakaratul maut. Kematian adalah suatu yang pasti dihadapi setiap manusia, sama ada dia bersedia atau tidak, maut pasti datang menjengah.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Katakanlah: "Malaikat maut yang diserahi untuk (mencabut nyawa) mu akan mematikan kamu; kemudian hanya kepada Tuhan-mu kamu akan dikembalikan.” (Surah as-Sajdah [032], ayat 11)

Pengisi neraka

Daripada Othman bin Affan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “sesiapa yang meninggal dunia dengan penyaksian tiada Tuhan melainkan Allah, maka dia akan masuk syurga.” (Hadis Riwayat Muslim)

Saidina Umar al-Khattab juga pernah menyebut yang maksudnya, “Hendaklah kamu hadir kepada orang yang hendak meninggaldunia daripada kalangan kamu dan ingatkanlah kepada mereka kerana sesungguhnya mereka melihat apa yang kamu tidak nampak dan talkinkanlah mereka dengan kalimah tiada Tuhan melainkan Allah.”

Malaikat akan datang memberitahu mengenai terputusnya kelazatan dan kenikmatan dunia. Dalam masa yang sama, iblis dan syaitan juga akan berkeliaran mencari peluang memalingkan hati dan menghasut serta memperdaya supaya orang itu tergelincir imannya dan seterusnya menjadi calon pengisi neraka seperti mereka dan keturunannya. Anak cucu-cicit ketika itu akan mengelilingi manusia dan muncul dengan menyerupai wajah orang terdahulu yang disayangi manusia tadi.

Kekalkan solat

Dengan wajah bertopengkan manusia, syaitan membisikkan hasutan ke telinga supaya jangan mempercayai Allah SWT, Rasul-Nya, kitab al-Quran dan hari kiamat. Namun, manusia yang kuat iman dan pegangan agamanya serta ketika hidupnya sentiasa mengekalkan solat dan puasa, tidak akan mudah termakan bisikan syaitan. Maka di sinilah pentingnya peranan kerabat terhampir dengan pesakit mengajar dan mengulang-ulang serta membisikkan kalimah syahadah supaya tidak lekang daripada mulutnya supaya akhir kalamnya nanti dengan sebutan kalimah itu. Amalan ini digalakkan, malah sunat dilakukan oleh orang-orang yang masih hidup ke atas orang yang berada di saat hampir kematian.

Talkin

Daripada Abu Said al-Khudri, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “(Ajarkanlah) orang hendak meninggal dunia dari kalangan kamu dengan talkinkanlah ‘La illaa ha Ilaaha.’” (Hadis Riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasaie dan Ibn Majah)

Dalam satu riwayat lain daripada Huzaifah, ada sambungan hadis, “kerana ia (talkin) boleh menghapuskan dosa terdahulu.”

Orang yang hadir tidak dibenarkan membaca talkin dengan suara nyaring kerana dibimbangi berat lidah pesakit untuk menuturkannya, sebaliknya ajarkanlah kepada mereka dengan suara yang perlahan. Menurut Imam al-Ghazali, kepentingan kalimah ini dibisikkan ke telinga pesakit supaya ia menghabiskan hayatnya dalam keadaan hatinya tiada mengingati perkara lain kecuali Allah SWT dan apabila tiada di dalam hatinya kecuali Tuhan Yang Esa, maka melalui kematian itu, dia akan mencapai nikmat tertinggi dalam perjalanannya menuju Allah SWT.

Orang yang hadir juga disunatkan menasihati pesakit supaya bersangka baik dengan Allah SWT, yang mendatangkan kepadanya detik kematian bakal dihadapinya. Ini adalah senjata sangat ampuh untuk menangkis serangan syaitan di saat ia dalam keadaan yang kritikal.

Dalam satu riwayat daripada Wathilah bin al-Asqa menyebut, “Talkinkan dan hadirkan kepada orang yang hendak meninggal dunia antara kamu dengan ‘Tiada tuhan melainkan Allah’ serta gembirakanlah ia dengan syurga, kerana orang lelaki mahupun perempuan, di saat genting itu akan kebingungan. Demi Allah SWT, pandangan terhadap malaikat maut saja terasa hebat daripada seribu kali pukulan pedang. Demi Allah SWT, tidak akan keluar jiwa seseorang daripada dunia hingga setiap keringatnya merasa sakit kerana bingungnya.”

Bacaan doa

Hadis daripada Maqil ibn Yasar ada menyebut bahawa baginda Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud, “Bacalah surah Yasin ke atas orang-orang mati dari kalangan kamu.” (Hadis riwayat Abu Daud dan dianggap sahih oleh Ibn Hibban)

Seperkara lagi yang penting bagi semua manusia yang bernyawa ialah melazimkan bacaan doa supaya mati dalam keadaan husnul khatimah dan minta dijauhkan mati dalam keadaan al-khatimah. Inilah yang diajar Nabi Muhammad SAW melalui doanya yang bermaksud, “Ya Allah, sudahilah pengakhir hayat kami dengan husnul khatimah dan janganlah sudahi pengakhir hayat kami dengan khatimah.”

Sesungguhnya pengajaran daripada al-Quran dan al-Sunnah ini adalah satu petunjuk bahawa kematian manusia bukanlah penamat kehidupan, tetapi ia adalah satu jambatan menuju ke alam yang lebih luas dan kekal abadi.

Fikir-fikirkanlah.

Sumber : Mohd Huzairi Zainuddin

No comments: